Setelah beberapa
hari penuh dengan mesyuarat, hari ini aku mengambil peluang untuk bertadabbur
dengan Al-Quran melalui Tafsir Fizilalil Quran yang ditulis oleh As-Syahid Syed
Quthb. Kitab tafsir inilah yang paling banyak membekas pada hati ini.
Surah Al-Anbiya
Syed Quthb
membahagikan penafsiran surah ini kepada empat episod. Dalam episod yang
pertama adalah seputar "Sentuhan Hati dalam berdakwah"
Dalam setiap hari
kita yang berlalu, kita sentiasa sibuk dengan kerja seharian. Kesibukan tidak mengenal usia. Setelah lebih
kurang 10 bulan bernikah, saya semakin faham bagaimana besarnya cabaran seorang
ayah dan ibu yang bekerja , mempunyai anak-anak untuk dibesarkan dan aktif
dalam aktiviti dakwah dan tarbiah.
Saya bimbang kesibukan harian dan kelalaian menutup pintu dari menerima petunjuk yang dibawa oleh Al-Quran sedangkan itulah tujuan penurunan Al-Quran. Tiada masa. Kesibukan itu
sepatutnya tidak sesekali membuat kita lalai dari menerima petunjuk dari
Al-Quran. Apapun alasannya, hatta sekalipun kononnya sibuk dengan dakwah dan tarbiah.
Baca Quran tidak boleh disamakan dengan memahami isinya. Baca dan
faham itu proses yang berbeza. Memahami terjemahan dan memahami mesejnya dua
juga peringkat yang berbeza. Memahami perlu pada hati. Bagaimana pula hati yang
lalai?
Permulaan Al-Anbiya
memberi pukulan yang hebat pada kelalaian.
Jiwa lalai yang disebut sebagai
لَاهِيَةً قُلُوبُهُمْ
Hati merupakan
tempat berfikir. Gambaran kelalaian hati merupakan gambaran tentang jiwa kosong
yang tidak bersungguh-sungguh. Sehingga masih boleh bermain-main saat yang
paling penting. Peringatan dari Allah disambut dengan main-main tanpa
penghormatan dan penyucian. Jiwa yang kosong dari kesungguhan akan tersesat
dalam senda gurau yang kering dan hambar. Jiwa itu tidak pernah bersedia untuk
menanggung beban dan menunaikan kewajipan.
Jiwa itu hanya bersenang-senang, bersantai dengan kerja-kerja yang hina
tidak berfaedah.
Sesungguhnya jiwa
yang tunduk pada hawa nafsu adalah jiwa yang sakit. Jiwa itu tak akan mampu
untuk menanggung beban tanggungjawab, tidak memiliki kesedaran dan meremehkan
segala hal. Sedangkan jiwa yang bertanggungjawab adalah jiwa yang kuat,
sungguh-sungguh dan jiwa yang sentiasa sedar ! Syed Quthb
Kisah Amir bin
Rabi`ah
Datang seorang Arab
ke rumah Amir bin Rabi`ah dan dia memuliakannya. Kemudian dia datang lagi
setelah mendapat tanah dan berkata
"Sesungguhnya
aku telah mendapat satu lembah tanah Arab dari Rasulullah dan aku ingin
berikan sebahagian darinya untukmu dan
keluargamu sesudah sepeninggalanmu".
Amir menjawab "
aku tidak perlu tanahmu kerana hari ini turun surah dari Al-Quran yang membuat
kami melupakan segala urusan dunia (ayat 1 Surah Anbiya)
Inilah perbezaan
antara hati yang hidup dan mati, hati yang lalai keras dan hati yang responsif
pada peringatan Allah. Hati mati memakai pakaian nafsu dan mengkafankan
mayatnya dengan main-main, dan tidak sedikitpun terkesan dengan peringatan
kerana ia tidak memiliki benih kehidupan ! Syed Quthb
Membaca Al-Quran setiap hari mungkin mudah tetapi menerima mesej
dari Al-Quran setiap hari bukan sesuatu yang mudah. Jadual tadabbur harian
kadang-kadang mudah dilalaikan dengan rutin hidup seharian. Ya Allah jauhkan
hati ini dari golongan لَاهِيَةً
قُلُوبُهُمْ !!