21 June 2013

Kelalaian Jiwa



Setelah beberapa hari penuh dengan mesyuarat, hari ini aku mengambil peluang untuk bertadabbur dengan Al-Quran melalui Tafsir Fizilalil Quran yang ditulis oleh As-Syahid Syed Quthb. Kitab tafsir inilah yang paling banyak membekas pada hati ini.

Surah Al-Anbiya
Syed Quthb membahagikan penafsiran surah ini kepada empat episod. Dalam episod yang pertama adalah seputar "Sentuhan Hati dalam berdakwah"

Dalam setiap hari kita yang berlalu, kita sentiasa sibuk dengan kerja seharian.  Kesibukan tidak mengenal usia. Setelah lebih kurang 10 bulan bernikah, saya semakin faham bagaimana besarnya cabaran seorang ayah dan ibu yang bekerja , mempunyai anak-anak untuk dibesarkan dan aktif dalam aktiviti dakwah dan tarbiah.

Saya bimbang kesibukan harian dan kelalaian menutup pintu dari menerima petunjuk yang dibawa oleh Al-Quran sedangkan itulah tujuan penurunan Al-Quran. Tiada masa. Kesibukan itu sepatutnya tidak sesekali membuat kita lalai dari menerima petunjuk dari Al-Quran. Apapun alasannya, hatta sekalipun kononnya sibuk dengan dakwah dan tarbiah. 

Baca Quran tidak boleh disamakan dengan memahami isinya. Baca dan faham itu proses yang berbeza. Memahami terjemahan dan memahami mesejnya dua juga peringkat yang berbeza. Memahami perlu pada hati. Bagaimana pula hati yang lalai?

Permulaan Al-Anbiya memberi pukulan yang hebat pada kelalaian.  Jiwa lalai yang disebut sebagai
لَاهِيَةً قُلُوبُهُمْ

Hati merupakan tempat berfikir. Gambaran kelalaian hati merupakan gambaran tentang jiwa kosong yang tidak bersungguh-sungguh. Sehingga masih boleh bermain-main saat yang paling penting. Peringatan dari Allah disambut dengan main-main tanpa penghormatan dan penyucian. Jiwa yang kosong dari kesungguhan akan tersesat dalam senda gurau yang kering dan hambar. Jiwa itu tidak pernah bersedia untuk menanggung beban dan menunaikan kewajipan.  Jiwa itu hanya bersenang-senang, bersantai dengan kerja-kerja yang hina tidak berfaedah.

Sesungguhnya jiwa yang tunduk pada hawa nafsu adalah jiwa yang sakit. Jiwa itu tak akan mampu untuk menanggung beban tanggungjawab, tidak memiliki kesedaran dan meremehkan segala hal. Sedangkan jiwa yang bertanggungjawab adalah jiwa yang kuat, sungguh-sungguh dan jiwa yang sentiasa sedar ! Syed Quthb 

Kisah Amir bin Rabi`ah

Datang seorang Arab ke rumah Amir bin Rabi`ah dan dia memuliakannya. Kemudian dia datang lagi setelah mendapat tanah dan berkata

"Sesungguhnya aku telah mendapat satu lembah tanah Arab dari Rasulullah dan aku ingin berikan  sebahagian darinya untukmu dan keluargamu sesudah sepeninggalanmu".

Amir menjawab " aku tidak perlu tanahmu kerana hari ini turun surah dari Al-Quran yang membuat kami melupakan segala urusan dunia (ayat 1 Surah Anbiya)

Inilah perbezaan antara hati yang hidup dan mati, hati yang lalai keras dan hati yang responsif pada peringatan Allah. Hati mati memakai pakaian nafsu dan mengkafankan mayatnya dengan main-main, dan tidak sedikitpun terkesan dengan peringatan kerana ia tidak memiliki benih kehidupan ! Syed Quthb 


Membaca Al-Quran setiap hari mungkin mudah tetapi menerima mesej dari Al-Quran setiap hari bukan sesuatu yang mudah. Jadual tadabbur harian kadang-kadang mudah dilalaikan dengan rutin hidup seharian. Ya Allah jauhkan hati ini dari golongan  لَاهِيَةً قُلُوبُهُمْ !!

1 comment:

aku-bukan-robot said...

Allahuakbar.

macam kene headshoot. huk2.

bukan takat lalai. tapi. sringkali membantah. tak mahu ambil pengajaran. )'= astaghfirullahalazim

moga Allah jaga dan pelihara.